Bantuan
 

Peyatim perlukan bantuan anda

6-5-2004

 

Penganjur Majlis Tilawah dan Nasyid Peyatim Peringkat Kebangsaan ke 12 atau MTQN 2004, menjangkakan seramai 2,000 anak yatim serta pengiring daripada 41 pertubuhan anak yatim seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak akan berkampung di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur bermula pada 23 hingga 26 Ogos ini.

 

Presiden Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim), Datuk Dr. Tengku Mahmud bin Mansor dan Pengerusi Rumah Ilham, Yayasan Anak-anak Yatim Pinggir Taman Tun Dr. Ismail, Hj. Hassanuddin bin Ali yang merupakan pengerusi bersama majlis tersebut berkata, sungguhpun ia merupakan acara tahunan PEYATIM tetapi MTQN 2004 kali ini berlainan dari tahun-tahun sebelumnya.

 

Ini kerana ia pertama kali disambut di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

 

``Alhamdulillah, Menteri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Tan Sri Mohd. Isa Abd. Samad sudi menjadi penasihat dalam senarai ahli Jawatankuasa Induk MTQN 2004, selain turut menerima kepercayaan dan sokongan dari Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Perdana menteri (JPM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Kementerian Pelancongan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa syarikat swasta lain.

 

``Bagi memastikan kelancaran MTQN 2004 ini, kami menganggarkan perbelanjaan sebanyak lebih RM300,000 diperlukan. Namun jumlah wang tunai yang ada setakat ini ialah sebanyak RM80,000. Bermakna masih kekurangan RM220,000 lagi,'' jelas Tengku Mahmud pada majlis sidang akhbar MTQN 2004 di Masjid Wilayah, baru-baru ini.

 

Hadir sama pada majlis tersebut, Imam Besar Masjid Wilayah, Datuk Kamaruddin Zakaria dan Pengerusi Ekspo Perdagangan, Ahmad Haji Sulaiman.

 

Akui Hassanuddin, mereka amat mengharapkan pelbagai pihak dapat menghulurkan bantuan dalam sebarang bentuk.

 

Tambah beliau, kelainan yang ditonjolkan sepanjang MTQN 2004 dengan tema, Keteguhan Iman Sumber Kejayaan ini ialah perlaksanaan Ekspo Perdagangan yang berlangsung pada 20 hingga 27 Ogos.

Selain Peyatim dan Rumah Ilham, Humming Bird Communications Sdn. Bhd. turut menjadi penganjur bersama dalam acara kali ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hanizah Abdul Hamid memberitahu, lebih 200 syarikat berteraskan Islam atau halal tempatan daripada industri perkhidmatan hingga ke sektor penjualan dikenal pasti menyertai ekspo ini.

``Ia merupakan satu peluang keemasan bagi syarikat tempatan meneroka pasaran perniagaan, di samping memupuk semangat kebajikan dan sifat muhibbah.

 

``Kami menyediakan gerai-gerai dengan harga RM5,000 ke bawah bagi mereka yang berminat. Keseluruhan yuran penyertaan ekspo akan disalurkan terus ke Tabung Amanah Rumah Ilham Yayasan Anak-Anak Yatim Pinggiran Taman Tun Dr. Ismail bagi menyokong badan berkenaan dan aktiviti-aktiviti kebajikan yang mereka adakan,'' katanya.

 

Hakikatnya tegas Hanizah, ekspo ini secara keseluruhannya menjanjikan satu acara menarik untuk seisi keluarga. Pelbagai aktiviti dan permainan telah dirancang untuk kanak-kanak serta diserikan lagi dengan kehadiran artis-artis nasyid tempatan.

 

MTQN 2004 akan mempertandingkan beberapa acara; Tilawah Al-Quran peringkat menengah dan rendah, Nasyid, Syarahan Bahasa Inggeris, Syarahan Bahasa Malaysia dan Deklamasi Sajak. Semua acara dikategorikan kepada lelaki dan perempuan.

 

Di samping itu, sepanjang seminggu berlangsungnya MTQN 2004, pengunjung juga berkesempatan menderma. Sebanyak 200 hadiah disediakan dalam acara cabutan bertuah dengan tiket penerbangan mengerjakan umrah.

 

Majlis perasmian MTQN 2004 akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Manakala Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah binti Al-Marhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat ke majlis penutup MTQN 2004.

 

Kembali>>