Kelab Anak Yatim SeMalaysia
 

Rabaah rancang tubuh Kelab Anak Yatim SeMalaysia

Oleh: ROSMAH DAIN

10-1-2006

“KITA tidak perlu menunggu sehingga jadi kaya baru boleh membantu orang-orang yang susah, fakir miskin dan mereka yang memerlukan.

“Dengan kehidupan serba sederhana seperti ini pun kita boleh membantu mereka, apa yang penting ialah niat yang ikhlas.”

Demikian kata-kata yang terlafaz dari mulut Pengasas dan Pengurus Rumah Amal Limpahan Kasih, Rabaah Abdul Aziz, 35, apabila ditanya mengenai kegiatan amal yang dilakukannya.

 

Bertempat di Bandar Bukit Puchong 2, Selangor, kira-kira setahun lalu, wanita prihatin ini membuka sebuah pusat anak-anak yatim dan fakir miskin dengan dibantu suaminya, Mohd. Zawawi Ramli, 36.

Bersandarkan atas dasar rasa tanggungjawab dan pengalaman sebagai penyelia kepada sebuah rumah anak-anak yatim di Rawang, Selangor, ibu kepada lapan cahaya mata ini bakal membuka Kelab Anak-Anak Yatim SeMalaysia, khusus bagi meringankan beban anak-anak yatim di seluruh negara.

 

Rabaah berkata, menurut perangkaan yang diberikan oleh Pertubuhan Anak Yatim Seluruh Malaysia (Peyatim) pada tahun lepas, dianggarkan terdapat 300,000 anak yatim di negara ini. Daripada jumlah ini hanya 50 peratus yang mampu dibesarkan oleh ibu masing-masing manakala 41 buah rumah anak yatim yang terdapat di seluruh negara cuma mampu menampung 4,000 orang anak yatim.

 

“Berdasarkan angka ini, pastilah jumlah anak yatim yang masih tinggal di rumah sendiri adalah lebih tinggi dan sudah tentu ramai di kalangan mereka memerlukan bantuan.

 

“Tidak seperti rakan-rakan yang berada di rumah anak-anak yatim yang terbela nasib mereka apabila sering mendapat bantuan dan sumbangan, anak-anak yatim yang melarat dan berada di rumah tentu berbeza nasib mereka,” katanya.

 

Rabaah berkata, anak-anak yatim seperti ini juga perlu diraikan sebagaimana anak-anak yang bernasib baik.Malangnya, kebanyakan bantuan tidak dapat disampaikan kepada mereka kerana alamat yang diberikan tidak lengkap. Sehinggakan ada di kalangan mereka yang tidak mempunyai sijil kelahiran atau kad pengenalan, tidak mampu bersekolah, terbelenggu dalam kemiskinan, adik-beradik ramai dan sebagainya.

 

Rabaah menerangkan, Kelab Anak-Anak Yatim SeMalaysia yang dianjurkan di bawah Rumah Amal Limpahan Kasih bakal mengumpulkan semua maklumat yang perlu mengenai anak-anak yatim yang berada di negara ini agar dapat diletakkan di bawah satu data terperinci yang bakal diprogramkan oleh rumah amal berkenaan.

 

Pada masa depan sekiranya terdapat pihak-pihak yang ingin menyampaikan bantuan atau sumbangan, pihaknya boleh menyalurkan maklumat mengenai anak-anak yatim kepada penyumbang menggunakan data berkenaan.

 

“Setakat ini ramai penyumbang yang memberikan sumbangan kepada Rumah Amal Limpahan Kasih dan sebagai pemegang amanah saya berharap dapat mengagih-agihkan sumbangan berkenaan kepada

mereka yang memerlukan dengan seadil-adilnya,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengalu-alukan anak-anak yatim atau keluarga mereka menghubungi kelab itu untuk tujuan program pendaftaran isi rumah anak-anak yatim bagi memudahkan pihaknya memantau perkembangan hidup mereka.

Ditanya bagaimana beliau akan menguruskan anak-anak yatim yang ramai di seluruh negara sekiranya pendaftaran dibuka kelak, Rabaah memberitahu, Rumah Amal Limpahan Kasih mempunyai kerjasama yang erat dengan rumah-rumah amal serta pihak-pihak lain di seluruh negara.

“Kita sentiasa memantau dan menyelaras perkembangan setiap masa. Katakanlah, ada satu pihak yang memerlukan bantuan di sebelah utara, kita akan memberikan maklumat berkenaan pada pihak-pihak yang bekerjasama dengan kita untuk menguruskan masalah berkenaan. Kita pula akan memantau sehingga masalah tersebut selesai,” katanya.

 

Tambah Rabaah lagi, pihaknya juga menghulurkan bantuan dari ‘pintu ke pintu’.

 

Antara syarat yang diperlukan bagi pendaftaran anak yatim di kelab berkenaan ialah golongan ini mestilah mereka yang memerlukan bantuan tetapi setakat ini tidak tinggal di mana-mana rumah kebajikan dan berumur 18 tahun ke bawah.

 

Apabila salah seorang abang atau kakak didaftarkan di bawah kelab berkenaan, adik-beradik mereka juga akan didaftarkan secara automatik.

Bagi yang berumur 18 tahun ke atas dan masih belum bekerja, rumah amal ini bakal membantu mencarikan mereka pekerjaan.

“Mereka boleh menghubungi talian kami dan kami akan datang mengambil barang-barangan berkenaan.

 

“Kelab ini juga mengalu-alukan mereka yang ingin melakukan amal jariah dengan menjadi sukarelawan bagi membantu program yang dijalankan termasuk aktiviti rombongan dan percutian bagi anak-anak yatim,'' katanya.

 

Katanya lagi, anak-anak yatim juga boleh memilih untuk tinggal di asrama Rumah Amal Limpahan Kasih dan menyertai pelbagai program yang dijalankan termasuk aktiviti dan kelas tambahan secara percuma.

 

Selain itu, rumah amal berkenaan juga memberikan bantuan kepada fakir miskin dan ibu tunggal.

Rabaah boleh dihubungi di talian 016-3613827/03-8060 1770/ 019-2227339.

kembali>>