Sejarah Ringkas
Kolej Teknologi Bestari atau nama singkatannya KTB mula beroperasi pada 4 Jun 1998 di kampus sementara yang bertempat di bangunan yang disewa dari Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) di kampong Saujana, Setiu, Terengganu. Pada mulanya KTB menjalankan program dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila memorandum persefahaman (MoU) telah termeterai di antara Y.M. Dato’ Dr. Tengku Mahmud Mansor selaku Pengerusi Eksekutif Kolej Teknologi Bestari dengan Universiti Putra Malaysia yang telah diwakili oleh Naib Canselor, Tan Sri Dato’ Syed Jalaluddin Syed Salim.
Pada bulan Mei 1998, pihak Lembaga Akreditasi Negara (LAN) telah meluluskan untuk menjalankan program pengajian. Sehubungan dengan itu, Kolej Teknologi Bestari telah menerima pelajar pertamanya seramai 304 orang bagi mengikuti program Bacelor Pentadbiran Perniagaan, Bacelor Pendidikan, Diploma Sains Komputer dan Matrikulasi Perakaunan dan Pengurusan.Pada sesi Mei 1999, Kolej Teknologi Bestari telah mendapat kelulusan untuk menjalankan tiga (3) program baru iaitu Diploma Pengurusan Perniagaan, Sijil Pengurusan Perniagaan dan Sijil Sains Komputer. Pada masa yang sama dua (2) program telah dihentikan iaitu Bacelor Pendidikan dan Matrikulasi Perakaunan dan Pengurusan. Menyedari permintaan yang tinggi daripada pelajar seluruh Negara, tiga (3) program baru telah diperkenalkan iaitu Diploma Perniagaan Berkomputer dan Diploma Teknologi Maklumat pada sesi Mei 2002. Manakala pada sesi Mei 2004, program Diploma Kewangan dan Perbankan dijalankan dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia.
Mulai sesi Mei 2004, Kolej Teknologi Bestari telah berwajah baru apabila berpindah ke kampus induknya di Putera Jaya, Bandar Permaisuri yang menelan belanja sebanyak RM 30 juta.
Kolej Teknologi Bestari(KTB)Kini
Walaupun masih belum dikenali di seluruh Negara, namun KTB merupakan IPTS pilihan bagi pelajar-pelajar di Pantai Timur. Sehingga kini sermai 1,500 orang pelajar sedang mengikuti sembilan (9) program pengajian yang terdiri daripada para pelajar seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Pelbagai strategi telah dirangka oleh pihak pengurusan bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan keefisienan pentadbiran bagi merealisasikan hasrat untuk menjadi kolej universiti dan melahirkan lepasan pelajar yang berkualiti dan berdaya saing. Usaha bersungguh-bersungguh sedang dibuat untuk mempelbagaikan lagi bidang pengajian dan memperbanyakkan program peringkat Sarjana Muda. Dijangkakan KTB akan menjalankan pelbagai program baru di peringkat diploma seperti Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Elektronik, dan Kejururawatan manakala Sains Komputer bagi peringkat Sarjana Muda.
Kini pembangunan sahsiah pelajar turut ditekankan terutama dari segi persatuan pelajar dan ko-kurikulum bagi melahirkan pelajar yang seimbang dari segi akademik dan pembangunan peribadi. Kebajikan pelajar menjadi satu keutamaan dengan memperkenalkan konsep “belajar dahulu bayar kemudian” sehingga mendapat penajaan. Usaha ini telah dapat membuka peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk turut mendapat pendidikan tinggi.
Gabungan tenaga daripada pihak Lembaga Pengarah, Pihak Pengurusan, kakitangan akademik dan sokongan yang sangat perihatin dengan golongan yang berpendapatan rendah dan anak-anak yatim menjadi kekuatan bagi kolej ini untuk terus berkembang dan berusaha melahirkan para pelajar yang terbaik di Negara ini.
Untuk Maklumat Lanjut, Sila Hubungi:
Pendaftar,
Kolej Teknologi Bestari,
Putera Jaya, Bandar Permaisuri
22100 Setiu
Terengganu Darul Iman
Laman Web: www.ktb.edu.my
<< Kembali>> |