MTQN 2004 medan melatih cintai al-Quran
Oleh ZUARIDA MOHYIN
3-9-2004
PENGANJURAN Majlis Tilawah al-Quran dan Nasyid anjuran Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) atau MTQN 2004 yang berlangsung selama lima hari di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur bermula 22 ogos hingga 27 Ogos lalu, hakikatnya membuktikan anak-anak yatim itu tiada bezanya dengan kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa.
Ini dibuktikan melalui pengisian program seperti pertandingan tilawah al-Quran, syarahan, nasyid dan deklamasi sajak, di mana penyertaan anak-anak yatim di bawah gabungan Peyatim begitu memberangsangkan, sekali gus membuka minda masyarakat bahawa anak-anak yatin juga berkemampuan untuk maju.
Pada majlis perasmiannya, Menteri Wilayah Persekutuan juga selaku Penasihat MTQN 2004, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad turut mengakui bahawa kewujudan pertubuhan yang menjaga kebajikan anak yatim bukanlah sesuatu yang baru dalam senario di Malaysia.
Namun apa yang sering diperkatakan ialah bagaimana untuk membela nasib mereka. Hakikatnya, tanggungjawab membantu anak yatim terletak di bahu setiap individu Islam.
``Masyarakat seharusnya tidak bersikap lepas tangan dan memandang sebelah mata apabila menyentuh soal anak yatim. Pertubuhan anak yatim ataupun asrama-asrama berkaitan yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, bukanlah alasan terbaik melepaskan diri mereka daripada tanggungjawab sebenarnya.
``Malah di dalam agama Islam sendiri, anak yatim itu, ada hak mereka. Usaha yang dilakukan oleh Peyatim khususnya, dalam menaik taraf kehidupan dan memberikan pendidikan sempurna kepada anak-anak yatim wajar diberi pujian dan sokongan.
``Aspek pengurusan anak yatim itu penting diberi penekanan. Jika baik cara urusan dan pentadbirannya, maka baik jugalah hasil dan kesannya,'' kata Mohd Isa, yang menggantikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang pada awalnya dijangka merasmikan majlis MTQN 2004 pagi itu.
Lantaran itu, tambah Mohd Isa, pertubuhan yang menguruskan hal ehwal anak yatim perlu melengkapkan diri mereka dengan beberapa strategi bijak agar memudahkan usaha pengumpulan dana.
Saran beliau, aspek masa, siapa yang perlu ditemui dan perantara untuk memudahkan urusan adalah antara strategi yang perlu diambil kira. Selain itu, mereka (pertubuhan berkaitan anak yatim) mestilah tidak kenal erti putus asa dan kecewa. Gabungan bijak kesemua aspek ini, pastinya menjanjikan kejayaan.
``Apa yang saya dapati, terlalu banyak pihak yang datang mengharapkan bantuan kewangan. Biarpun, sumbangan tersebut boleh diberikan namun, perancangan dan bajet pihak yang dipohon perlulah diambil kira oleh pihak yang memohon.
``Budaya minta derma di Malaysia terlalu banyak dan orang yang menderma pula terhad, oleh itu, sekali lagi saya tegaskan bahawa kena ada langkah-langkah tertentu untuk mengatasi masalah ini,'' ujar Mohd Isa lagi.
Turut ditekankan ialah aspek pendidikan yang lebih menyeluruh iaitu merangkumi bidang akademik, agama, rohani, sahsiah dan semnagat anak-anak yatim agar seiring dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan anak bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Menyedari bilangan anak yatim di seluruh Malaysia iaitu kira-kira 300,000 orang, ini menunjukkan jumlah ini akan mempengaruhi sumbangan mereka dalam masa depan negara.
Sebelum itu dalam majlis yang sama, Hassanuddin Ali, Pengerusi Rumah Ilham Yayasan Anak-anak Yatim Pinggir Taman Tun Dr Ismail (PTTDI) yang juga merangkap Pengerusi Bersama MTQN 2004 dalam ucapannya berkata, terdapat dua cabaran dalam memperbaiki kehidupan anak-anak yatim.
Pertama, menyedarkan masyarakat akan tanggungjawab mereka membantu anak yatim. Kedua, mendapatkan sumber kewangan yang sudah dikenal pasti.
``Membantu anak yatim bukan sahaja merupakan satu tanggungjawab sosial malah ia adalah tuntutan agama dan negara.
``Di samping itu juga, tidak kurang juga pihak-pihak yang tidak amanah dengan mengeksploitasikan kanak-kanak ini demi kepentingan mereka,'' katanya.
Di akhir ucapan, Hassanuddin turut meluahkan rasa sedihnya dengan pendirian Baitulmal Wilayah Persekutuan kerana menarik balik bantuan yang sebelum ini diberikan kepada anak-anak yatim dari asrama beliau dengan alasan keluarga tidak bermastautin di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Malah beliau menyifatkan tindakan sebegini seperti menganaktirikan anak-anak yatim yang terlibat.
Majlis penutupan MTQN 2004 juga dilakukan di lokasi yang sama dan dirasmikan penutupannya oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin ibni al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Fauziah binti al-Marhum Tengku Abdul Rashid.
MTQN 2004 kali ke 12 ini menyaksikan seramai 1,500 anak-anak yatim dan kaki tangan daripada 41 buah rumah anak yatim dan pertubuhan di bawah Peyatim berkampung di Masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur.