Peyatim - Berkhidmat kepada anak-anak yatim
20-5-2004
Oleh ZUARIDA MOHYIN
Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia atau Peyatim ditubuhkan pada November 1990, hasil gabungan pertubuhan serta asrama anak yatim di seluruh negara.
Ia merupakan sebuah badan amal sukarela yang memberi khidmat kebajikan kepada anak-anak yatim yang tinggal di asrama ahli gabungan dan kepada yang memerlukan.
Presidennya, Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansor, 63, memberitahu, setakat ini Peyatim mempunyai 40 buah pertubuhan anak yatim yang menjadi ahli gabungannya di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
``Malah terdapat lebih kurang 4,000 orang anak yatim yang tinggal di asrama tersebut dan bilangan ini bertambah dari masa ke masa.
``Jumlah ini hakikatnya sedikit jika dibandingkan dengan jumlah terkini anak yatim seluruh Malaysia, dianggarkan lebih kurang 300,000 orang.
``Peyatim tidak sahaja bertindak sebagai pusat rujukan mengenai hal ehwal anak yatim tetapi turut membantu ahli dalam urusan pentadbiran asrama dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta sebagai penghubung kepada agensi kerajaan yang berurusan dengan badan bukan kerajaan (NGO),'' kata Tengku Mahmud sewaktu ditemui di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, baru-baru ini.
Menurut beliau lagi, sejarah kewujudan Peyatim hakikatnya bermula dengan Pertubuhan kebajikan Anak-anak Yatim Negeri Terengganu (Perkaya), kira-kira 24 tahun lalu.
Mengenang kembali detik itu cerita Tengku Mahmud, Perkaya begitu sinonim dengan anak yatim dan terkenal di Terengganu. Asrama yang dibina di atas tanah seluas 30 ekar di Marang, mampu menampung sebanyak 400 orang anak yatim.
Kos pembinaan asrama ini menelan belanja lebih kurang RM 11 juta iaitu RM 5 juta dari kerajaan negeri dan bakinya adalah hasil derma orang ramai.Sehingga kini, asrama tersebut berjaya melahirkan seramai 6,700 orang pelajar yang kini berada hampir di setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Sejajar matlamat Perkaya yang menitikberatkan soal kualiti pencapaian bidang akademik, Perkaya sebelum ini hanya mengambil anak-anak yatim yang cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), sekurang-kurangnya 2B dan kini, pemilihan dinaikkan kepada sekurang-kurangnya 1A.
Pun begitu, setiap tahun Perkaya menerima permohonan antara 150 hingga 200 orang. Sayangnya, cuma dalam lingkungan 50 pelajar mampu diterima. Perkaya semakin lama semakin bertapak kukuh iaitu memiliki aset yang banyak, antaranya memiliki ladang kelapa sawit dan projek perumahan.
Tambahan pula, penubuhan Kolej Teknologi Bestari (KTB) bertujuan menampung keperluan anak-anak yatim yang sederhana pencapaian akademik atau tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi tempatan.
Kolej ini juga menerima permohonan daripada pelajar-pelajar luar yang berkelayakan.Ketika ini KTB memberi penekanan kepada bidang Teknologi Maklumat, Pengurusan Perniagaan, Kewangan dan Sains Kejururawatan peringkat diploma menerusi kerjasama dengan universiti-universiti awam dalam negeri.
Manakala, anak yatim yang tidak cemerlang dalam bidang akademik, sebuah institut kemahiran telah ditubuhkan dikenali sebagai Institut Kemahiran Bestari (IKB). Ia menjalankan program Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) di bawah kelolaan Kementerian Sumber Manusia.
Menariknya, graduan IKB berpeluang memasuki Universiti Kuala Lumpur (UKL) dengan tajaan MARA.
Melihat kepada prestasi cemerlang Perkaya, telah mengundang minat asrama-asrama anak yatim dari negeri-negeri lain mengadakan lawatan ke Perkaya.
Hasil lawatan tersebut, Peyatim ditubuhkan demi memenuhi permintaan penubuhan sebuah pertubuhan anak yatim di peringkat kebangsaan.
Sebelum itu, Tengku Mahmud mengadakan pertemuan dengan 11 buah asrama anak yatim. Kini, keanggotaan Peyatim adalah dua kali ganda, satu tanda Perkaya semakin mendapat kepercayaan ramai.
Tambah anak kelahiran Setiu, Terengganu ini, langkah pertama Peyatim ialah meningkatkan kualiti pengurusan asrama.
``Setiap tahun Peyatim mengadakan pelbagai seminar, kursus, bengkel dan lain-lain kegiatan kepada ahli gabungan bagi meningkatkan produktiviti berkaitan kepimpinan.
``Malah Peyatim bukan bermatlamat memelihara kebajikan anak yatim ini semata-mata. Anggapan masyarakat yang mengaitkan anak yatim dengan kemiskinan, kemunduran dan terbiar mestilah diubah. Oleh itu, menjadi tanggungjawab semua pihak memastikan tidak timbul lagi stigma sebegini.
``Lantaran itu, pendedahan anak-anak yatim kepada dunia luar amatlah penting dan penganjuran dua aktiviti utama iaitu Tilawah al-Quran dan sukan dwi tahunan (Sukya) adalah sesuatu yang relevan,'' terang Tengku Mahmud akan aktiviti yang digilirkan di antara negeri-negeri yang mempunyai ahli gabungan serta mendapat sokongan padu dari kerajaan negeri yang menjadi tuan rumah.
Seperkara lagi, Peyatim sedang berusaha mewujudkan Asrama Bestari Peyatim peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur.
``Peyatim sedang dalam urusan untuk mendapatkan sebidang tanah di sekitar Lembah Klang seluas tiga hektar. Ia turut dilengkapi ibu pejabat, bahagian kajian dan pembangunan (R&D) serta destinasi lawatan.
``Kompleks ini akan mampu menampung seramai 300 anak yatim yang cemerlang keputusan UPSR dari seluruh negara dan akan ditempatkan di sekolah-sekolah yang terbaik.
``Harapan kami kecanggihan kompleks ini dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menjadi satu mercu tanda selaras dengan usaha melahirkan anak yatim yang intelek serta kewajarannya dengan usia 45 tahun kemerdekaan negara,'' ujarnya pagi itu.
Tengku Mahmud yang sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai guru besar serta aktif berpolitik di peringkat negeri dan pusat, turut meluahkan kekecewaannya kerana kerja-kerja kebajikan seperti ini hanya dilakukan oleh golongan pesara.
Kebimbangan kepada kekurangan penglibatan generasi muda sebagai pelapis, menimbulkan idea menubuhkan sebuah persatuan bekas anak-anak Peyatim.
``Diharap melalui persatuan ini, anak-anak Peyatim yang berjaya dapat menyumbang tenaga terutamanya dalam memberikan motivasi serta tunjuk ajar. Ini kerana, bekas pelajar Peyatim hakikatnya ramai yang berkerjaya `tegap' di luar sana,'' katanya yang lebih dikenali dengan panggilan Bat yang bermaksud ayah oleh anak-anak Peyatim.
Menyentuh tentang kepuasan dalam kerja fardu kifayah ini, kata Tengku Mahmud sejak dari usia muda beliau merasa terpanggil apabila melihat kesusahan orang dan mereka yang mengharapkan bantuan.
Lebih-lebih lagi, selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya, penglibatan beliau semakin serius.
Selain itu, pelantikannya sebagai Exco Pendidikan dan Kebajikan, Kerajaan Negeri Terengganu selama empat penggal (1978-1987) memberi peluang besar kepada beliau berkhidmat lebih rapat dengan orang ramai.
``Kini pada usia sekarang, 70 peratus masa saya adalah untuk kebajikan anak yatim, sementara 30 peratus lagi bagi urusan perniagaan.
``Malah mengapa saya memilih bidang kebajikan anak-anak yatim kerana tumpuan seluruh jiwa dan raga saya adalah demi anak-anak yatim.
``Kehidupan kita di dunia hanya sementara dan dunia adalah tapak untuk kita beribadat bertepatan dengan tujuan manusia diciptakan iaitu semata-mata mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.,'' kata Tengku Mahmud yang telah mengabdikan 25 tahun hidupnya dengan anak-anak yatim dan akan terus berjuang selagi hayat dikandung badan.