Keluarga Umi Maisarah tulang belakang PKAYDA
Oleh AZMI ABDUL MALEK
26-06-2006
ANAK yatim adalah antara golongan yang perlu mendapat pembelaan dalam masyarakat Islam walaupun mereka tidak mempunyai pertalian darah. Rasulullah yang juga anak yatim piatu sentiasa mengambil berat terhadap nasib mereka yang perlukan kasih sayang seseorang.
Allah telah menegaskan kepentingan kita berbuat baik kepada anak-anak yatim sebagaimana firman-Nya, Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israel (dengan berfirman), “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin.” (Al-Baqarah: 83)
Menyedari hakikat ini, Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Darul Aitam (PKAYDA) ditubuhkan pada 1985 oleh pasangan suami isteri, Busra Anuar dan Umi Maisarah Ahmad Mukti. Kini, walaupun Busra telah meninggal dunia, tugas murni ini masih diteruskan oleh Umi Maisarah di Temoh, Perak.
Berkat kesabaran mereka berdua, PKAYDA setakat ini berjaya mendidik lebih 1,000 anak yatim di seluruh negara dalam bidang pengajian Islam. Penasihat PKAYDA, Umi Maisarah berkata, pada peringkat awal pihaknya mengambil 12 anak yatim dari seluruh negara. Pengambilan meningkat kepada lebih 100 orang beberapa tahun kemudian termasuk dari Singapura dan Cape Town, Afrika Selatan.
Bangunan tempat mendidik anak yatim itu dibina dengan titik peluh ahli keluarga Busra dan sumbangan orang ramai di samping dibantu anak yatim secara beransur-ansur. Ahli keluarga Umi Maisarah turut menjalankan perniagaan kecil-kecilan bagi menampung perbelanjaan pengurusan anak yatim terbabit.
Kini KPAYDA menjadi tempat berlindung 54 anak yatim lelaki dan enam perempuan. Mereka mendapat pendidikan bahasa Arab, fardu ain dan pengajian al-Quran. Ia mempunyai 13 tenaga pengajar yang terdiri daripada tujuh anak dan enam menantunya, termasuk lima berkelulusan dari Universiti Jordan dan yang lainnya dari universiti-universiti di Syria, Mesir dan Indonesia.
“Saya tidak mengenakan emas kahwin terlalu tinggi kepada bakal menantu sebaliknya mereka mestilah sanggup berkhidmat di PKAYDA,” katanya semasa sesi taklimat kepada 100 ahli rombongan ibu tunggal dari kawasan Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah yang melawat pertubuhan itu baru-baru ini.
Turut hadir menyampaikan sumbangan makanan dan wang RM1,000 ialah penyelaras Badan Amal Dan Usaha Isteri (Baiduri) Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah, Datin Rohkiah Abd. Samat. Beliau ialah isteri ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kampung Gajah, Perak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.
Umi Maisarah berkata, ahli keluarganya komited meneruskan tugas Allahyarham suaminya untuk mendidik anak yatim. Alhamdulillah, melalui didikan yang diberikan, anak-anak yatim terbabit mampu menguruskan jenazah, membaca doa dan mengimamkan sembahyang berjemaah, terutama sunat tarawih.
Para penghuni PKAYDA kerap dijemput ke majlis kebesaran tempatan, termasuk Maulidur Rasul untuk bernasyid dan berzanji. Mereka juga dibenarkan mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Sungguhpun mereka tidak begitu berkebolehan dalam bidang akademik tetapi mereka mempunyai minat yang tinggi terhadap pengajian agama,” jelasnya. Umi Maisarah memberitahu, pihaknya hanya mampu mengambil anak yatim yang tidak cacat anggota.
Umi Maisarah, bekas guru agama di beberapa sekolah rendah dan menengah kerajaan, berkata, anak yatim yang ingin menyertai PKAYDA hanya dikehendaki mengisi borang. Tiada sebarang bayaran dikenakan.
Sementara itu, pengetua PKAYDA, Syamsul Anwar Busra, 35, berkata, pihaknya mengambil anak yatim berumur antara tujuh hingga 17 tahun. Antara kemudahan yang disediakan ialah asrama, dewan makan, padang bola, gelanggang badminton, pusat sumber dan surau.
Katanya, Jabatan Perdana Menteri (JPM) turut menghadiahkan dua buah bas. Telekom Malaysia pula menyumbangkan sebuah bas kecil dan kereta. Jabatan Kastam Diraja Malaysia turut menyumbangkan lori pick-up untuk kemudahan mengangkut barang atau sayuran.
Syamsul Anwar yang berkelulusan sarjana muda syariah dari Universiti Mu’tah, Jordan kini meneruskan tugas Allahyarham bapanya untuk memelihara anak-anak yatim. Selain mengajar, Syamsul menjalankan perniagaan membekal roti dan menjual makanan.
Jadual harian pelajar PKAYDA pada setiap Isnin hingga Jumaat ialah menunaikan solat subuh yang diikuti kuliah sehingga pukul 7.30 pagi. Kegiatan gotong-royong membersihkan kawasan asrama dan sekolah diadakan pukul 8 pagi sebelum minum. Mereka masuk kelas pukul 9 pagi.
Kelas akademik, tahfiz al-Quran dan fardu ain berakhir pada pukul 12.50 tengah hari sebelum menunaikan solat zuhur dan makan tengah hari. Pada pukul 3 petang mereka akan menghadiri kelas tuisyen atau hafalan al-Quran selama sejam.
Selepas solat asar mereka akan masuk kelas ta’alim al-Quran sehingga pukul 5.30 petang sebelum beriadah. Mereka akan pulang ke asrama pukul 6.30 petang untuk persiapan solat dan kuliah Maghrib sehingga Isyak. Selesai makan, mereka akan mengulangkaji bacaan al-Quran sehingga 11 malam sebelum tidur.
Cemerlang
Syamsul Anwar berkata, penghuni asrama itu yang cemerlang boleh melanjutkan pengajian di Kolej Teknologi Bistari, Terengganu yang dikendalikan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) yang dipimpin Presidennya, Datuk Tengku Mahmud Mansor.
“Mereka yang kurang cemerlang boleh mengikuti program kemahiran di Institut Kemahiran Bistari dengan disediakan pinjaman atau dermasiswa,” katanya.
Setakat ini, empat bekas penghuni asrama berkenaan berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir, dua di Kolej Islam Darul Ehsan dan dua lagi di Jakarta, Indonesia.
Adik Syamsul, Suraya Nafizah, 33, berkata, beliau menjadi tenaga pengajar selepas tamat pengajian peringkat SPM dan Sijil Tinggi Agama 2 (STA2) di Sekolah Menengah Raja Perempuan Ta'ayah, Ipoh beberapa tahun lalu.
Suraya turut mengajar subjek bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Geografi, Sejarah dan Pengetahuan Islam untuk anak-anak yatim itu mengambil peperiksaan umum.
“Kami tidak mengharapkan ganjaran yang tinggi sebaliknya menaburkan bakti kepada anak-anak yatim kerana Allah semata-mata,” jelasnya.
Sementara itu, Rohkiah berkata, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam memelihara kebajikan anak yatim. Mereka yang mampu sememangnya digalakkan menghulurkan bantuan kepada golongan ini.
“Pada zaman Rasulullah, usaha menjaga kebajikan anak yatim amat dititikberatkan sehingga ia dianggap suatu tanggungjawab besar. Oleh itu, usaha mana-mana pertubuhan memelihara dan mendidik anak yatim patut diberi sokongan,” jelasnya.
Malah Rasulullah memberi gambaran kelebihan orang yang memelihara anak yatim berdasarkan sabdanya, “Aku dan orang yang memelihara anak yatim adalah di dalam syurga seperti ini.” Sambil Baginda menunjuk dengan kedua-dua jarinya – jari telunjuk dan jari tengah (yang dirapatkannya). (Riwayat Bukhari)
Penghuni asrama, Abdul Manan Sabran, 14, yang kematian bapa sejak beberapa tahun lalu berkata, dia seronok tinggal di situ kerana dapat berkumpul dengan ramai kawan senasib. Di situ dia dapat belajar agama dengan baik.
Abdul Manan yang berasal dari Lanchang, Pahang adalah anak keenam daripada tujuh adik-beradik. Dia dan adiknya, Mohd. Shuib, tinggal di PKAYDA sejak lima tahun lalu.
“Kadangkala ustaz bawa kami bersiar di merata-rata tempat dalam negara di samping menyertai pertandingan antara anak-anak yatim,” katanya yang bercita-cita menjadi anggota tentera.
Seorang lagi penghuni, Ahmad Saiful Abdullah, 12, yang bercita-cita menjadi doktor kini sudah mampu menghafal empat juzuk al-Quran selepas dihantar oleh ibu angkatnya ke situ beberapa tahun lalu.
Dia yang berasal dari Sungai Rokam, Ipoh dihantar oleh ibu angkatnya ke situ untuk belajar ilmu agama dan akademik. Rakannya, Muhamad Irwan Shah Harun, 14, yang kehilangan bapa bercita-cita menjadi guru agama. Dia tinggal di situ sejak dua tahun lalu.
Dia yang menghafal tiga juzuk al-Quran adalah anak bongsu daripada lima beradik dan mempunyai empat kakak yang sudah berkahwin kecuali seorang masih bekerja.Orang ramai yang ingin menyumbang kepada PKAYDA boleh menghubungi Syamsul Anwar melalui talian 05-4199088 atau 019-4271315.